Bilakah wanita tua boleh menanggalkan niqab?
Ayat 60 surah al-Nūr memberikan keringanan kepada al-qawāʿid, iaitu wanita tua yang tidak mengharapkan pernikahan. Ulama bersepakat bahawa mereka diberi keringanan untuk mendedahkan muka, tetapi berbeza pendapat tentang had dan batasannya.
Firman Allah dalam ayat 60 surah al-Nūr menyebut bahawa al-qawāʿid mina al-nisāʾ al-lātī lā yarjūna nikāḥan — wanita yang sudah berhenti dan tidak mengharapkan pernikahan, tidak ada salahnya menanggalkan thiyāb mereka, dengan syarat tidak menonjolkan perhiasan. Ayat itu diakhiri dengan menyatakan bahawa menjaga kehormatan dengan tidak menanggalkannya adalah lebih baik bagi mereka.
Dan al-qawāʿid daripada kalangan wanita, iaitu mereka yang tidak lagi mengharapkan perkahwinan — tidak ada dosa ke atas mereka jika mereka menanggalkan pakaian luar mereka, tanpa menampakkan perhiasan. Namun jika mereka menahan diri, itu lebih baik bagi mereka.
Apa yang boleh ditanggalkan
Ulama bersepakat menerima jilbab — atau ridāʾ dan milḥafah — termasuk dalam makna thiyāb di sini. Sebahagian ulama pula mengatakan ia meliputi khimar.
Khimar dipakai untuk menutup rambut dan kepala, sementara jilbab dipakai di atas khimar untuk menutup susuk tubuh, dan biasa dipakai menutupi muka.
Maka wanita yang termasuk dalam al-qawāʿid ini diberi keringanan untuk mendedahkan muka secara ittifak antara ulama; manakala keringanan mendedahkan kepala serta bahagian tubuh yang lain pula mengikut pendapat sebahagian ulama, berdasarkan tafsiran mereka terhadap makna thiyāb.
Siapakah al-qawāʿid?
Tiada pertikaian bahawa al-qawāʿid merujuk wanita tua. Yang diperselisihkan ialah had dan batasannya.
Secara harfiah, ungkapan itu bermaksud wanita yang sudah berhenti dan tidak mengharapkan pernikahan. Namun berhenti daripada apa, dan tidak mengharapkan pernikahan yang bagaimana, tidak dinyatakan, kerana itulah para ulama sejak dahulu berijtihad menentukan maknanya.
Empat tafsiran salaf dinukilkan dengan sanad yang kuat. Mujāhid: "tidak menginginkannya." Al-Ḍaḥḥāk (105 H): perempuan tua yang sudah berhenti daripada beranak, maka tidak memudaratkannya untuk tidak memakai jilbab di atas khimar. Al-Ḥasan al-Baṣrī (110 H): wanita yang telah berhenti daripada berkahwin. Qatādah (117 H): wanita yang tidak lagi berhaid dan tidak lagi terlintas di hatinya soal perkahwinan, Allah memberi keringanan kepadanya untuk menanggalkan jilbab.
Kesemua makna ini sebenarnya bertemu: wanita yang putus haid biasanya tidak lagi mampu mengandung, dan pada tahap itu keinginan untuk berkahwin juga berkurangan secara drastik. Ahli tafsir kemudian — antaranya al-Bayḍāwī, al-Maḥallī, dan Wahbah al-Zuḥaylī, merumuskan kedua-dua syarat sekali gus: tua sehingga putus haid, dan tua sehingga tidak lagi berminat untuk berkahwin.
Apa ʿillah sebenar keringanan ini
Tidak berkeinginan untuk berkahwin sebenarnya bermaksud tidak lagi mempunyai nafsu kepada lelaki, dan lazimnya, wanita yang sampai ke tahap itu, lelaki pun tidak lagi tertarik kepadanya, sehingga fuqaha mengistilahkannya sebagai ʿajūz lā tushtahā (perempuan tua yang tidak diingini). Fakhr al-Dīn al-Rāzī menyentuh perkara ini: lebih utama quʿūd itu tidak diukur dengan berhentinya haid, kerana haid boleh berhenti sedangkan keinginan lelaki kepadanya masih ada — yang dimaksudkan ialah usia di mana lelaki tidak lagi berminat.
Atas ʿillah inilah sesetengah ulama mengeluarkan wanita tua yang masih cantik daripada golongan qawāʿid yang mendapat keringanan, dan sebaliknya, ada pula yang mengumumkan keringanan itu kepada wanita muda yang hodoh.
Keringanan ini juga meliputi semua wanita tua — yang masih bersuami, janda, mahupun yang tidak pernah berkahwin — kerana ulama tidak didapati membezakan antara mereka dalam masalah aurat dan hijab.
Sukar untuk menentukan secara pasti sama ada seseorang wanita termasuk dalam golongan qawāʿid, kerana soal kecantikan dan nafsu itu bersifat subjektif dan ghayr munḍabiṭ. Maka pilihan dalam masalah ini kembali kepada ijtihad dan penilaian individu.
Syarat yang menyertai keringanan
Keringanan ini datang bersama syarat: ghayra mutabarrijāt bi-zīnah, iaitu tidak menonjolkan perhiasan.
Jumhur ulama memahaminya sebagai perhiasan batin seperti dalam ayat 31 surah al-Nūr, tetapi barangkali lebih tepat perhiasan zahir, kerana ia menepati zahir ayat. Maka bagi yang mewajibkan niqab, wanita tua yang menanggalkannya tidak dibenarkan memakai sebarang perhiasan yang boleh dilihat lelaki, seperti celak di muka dan cincin di tangan. Bagi yang sekadar menyunatkan niqab pula, keharusan dalam ayat ini bukan pada mendedahkan muka tetapi mendedahkan kepala, walaupun Imam al-Jaṣṣāṣ dan Ibnu Nūr al-Dīn mendakwa ijmak bahawa wanita tua tetap wajib menutup kepala dan seluruh tubuh selain muka dan tangan.
Dan ayat itu sendiri mengakhiri dengan menyatakan bahawa tidak menanggalkannya adalah lebih baik — jadi keringanan ini keizinan, bukan galakan. Kekal dengan hijab yang sempurna adalah yang terbaik dan paling selamat.