Menutup muka semasa ihram
Wanita yang berihram tidak dibenarkan memakai niqab atau burqa — tetapi larangan itu terhadap alat penutup muka, bukan terhadap perbuatan menutup muka. Ulama menukilkan kesepakatan bahawa wanita berihram boleh melabuhkan kain ke atas muka daripada pandangan lelaki.
Tidak terdapat khilaf yang dinukilkan bahawa wanita tidak dibenarkan memakai niqab, burqa, atau mana-mana pakaian yang dikhususkan untuk menutup muka semasa ihram. Hal ini berdasarkan larangan Rasulullah SAW sendiri, sebagaimana diriwayatkan oleh al-Bukhārī dan Abū Dāwūd daripada Ibnu ʿUmar RA: "Dan wanita yang berihram tidak boleh berniqab."
Perbezaan yang menentukan
Larangan memakai penutup muka tidak bermakna wanita yang berihram wajib mendedahkan muka secara mutlak.
Inilah perbezaan yang kerap terlepas pandang: yang dilarang ialah alat, bukan perbuatan. Nota berasingan di laman ini menjelaskan bahawa niqab ialah pakaian, manakala menutup muka ialah perbuatan — dan perbezaan itu menjadi penentu dalam bab ini.
Apa yang disepakati
Ulama menukilkan kesepakatan bahawa wanita dalam keadaan ihram boleh menutup muka daripada ajnabi.
Menurut nukilan Ibnu al-Mundhir, wanita yang berihram boleh memakai kesemua jenis pakaian berjahit dan khuff, dan boleh menutup kepala serta rambut. Bagi muka pula, ia boleh melabuhkan (tasdulu) kain secara ringan untuk menutup diri daripada pandangan lelaki — walaupun tidak memakai penutup muka yang dibentuk khusus.
Dengan kata lain, cara yang dibenarkan ialah isdāl: melabuhkan kain yang sedia dipakai di kepala ke atas muka, bukan memakai pakaian yang dibentuk khusus untuk muka.
Di mana mazhab berbeza
Nukilan-nukilan ijmak di atas menyebut kaifiatnya sebagai melabuhkan kain secara ringan, tetapi ulama berbeza pendapat sama ada kain itu perlu direnggangkan daripada kulit muka.
Ḥanafī dan Shāfiʿī mensyaratkan kain dijarakkan daripada kulit muka, kerana memahami larangan berniqab semasa ihram sebagai larangan menggunakan apa-apa yang menyentuh kulit muka. Sentuhan ringan yang tidak dapat dielakkan dimaafkan.
Mālikī dan Ḥanbalī tidak mensyaratkan demikian. Pada pandangan mereka, yang dilarang semasa ihram hanyalah pakaian khas yang dibuat untuk menutup muka — bukan kain biasa yang menyentuh muka — selagi ia tidak ditampal, dilekatkan, atau diikat seperti niqab.
Pendapat Mālikī–Ḥanbalī lebih tepat, malah tiga tokoh bermazhab Ḥanafī sendiri — Ibnu Abī al-ʿIzz (792 H), Ibnu Kamāl Bāshā (940 H), dan Abū al-Ḥasan al-Sindī (1138 H) — menolak pandangan mazhab mereka sendiri dan memilih pendapat ini.
Amali
Dua penyelesaian praktikal menangani dua masalah berbeza.
Kain nipis, kerana isdāl turut menutup mata sehingga menghalang penglihatan dan menyukarkan pergerakan. Ini menjadi amalan sebahagian Muslimat Arab semasa haji dan umrah, dan mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Imam Aḥmad dengan "melabuhkan sesuatu yang nipis ke mukanya."
Topi yang digantung kain di hadapannya, amalan jemaah haji dan umrah hari ini. Cara ini turut memenuhi syarat Ḥanafī dan Shāfiʿī: kain direnggangkan daripada muka tanpa perlu menggunakan tangan.