Rujukan

Memperlihatkan muka untuk pengecaman

Muka boleh diperlihatkan untuk tujuan pengecaman diri. Namun keizinan itu terhad kepada kadar yang diperlukan sahaja, dan berbeza-beza mengikut kepentingan urusan.

Muka menjadi identiti setiap individu. Dalam kehidupan, terdapat beberapa situasi yang memerlukan pengecaman dan pengesahan identiti untuk mengelakkan penipuan, kesilapan, atau ancaman keselamatan, seperti peperiksaan di kolej, pemeriksaan di lapangan terbang, dan kesaksian di mahkamah. Dalam banyak keadaan, yang melakukan pengecaman itu ialah lelaki ajnabi.

Dalam keadaan ini, muka boleh diperlihatkan dan dilihat. Al-ʿĀmirī (530 H) menyebut antara keadaan lelaki diharuskan melihat wanita ajnabi kerana keperluan ialah ketika urusan yang memerlukan kesaksian dan pengenalan diri.

Terhad kepada kadar yang diperlukan

Keizinan ini terhad sekadar yang diperlukan bagi tujuan pengecaman, mengikut pendapat sebahagian ulama yang dipilih oleh al-Māwardī dalam bab kesaksian.

Maka jika wanita boleh dicam dengan sekali pandang, pandangan kedua tidak lagi diperlukan. Jika ia boleh dicam melalui mata, maḥjir, atau separuh muka, tidak perlu mendedahkan keseluruhan muka. Begitu juga sekiranya ia boleh dikenal pasti tanpa mendedahkan muka kerana ciri fizikal yang tersendiri.

Al-Damīrī (808 H) menambah bahawa jika niqab yang dipakai nipis sehingga tidak menghalang penglihatan dan pengecaman berjaya dibuat, maka keadaannya sama.

Prinsip yang sama diterapkan pada keadaan moden: apabila pengecaman boleh dilakukan melalui kaedah lain seperti cap jari atau suara, keperluan untuk mendedahkan muka juga berubah.

Dalam kesaksian

Kesaksian wanita berniqab boleh diterima, sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Samurah b. Jundub RA.

Dalam masalah melihat muka pengantin perempuan untuk kesaksian pula, sebahagian ulama tidak membenarkan mukanya didedahkan jika ia dapat dicam oleh saksi dalam keadaan berniqab. Menariknya, Ibnu Ḥajar al-Haytamī turut berpandangan begitu — walhal beliau berpandangan wanita tidak wajib berniqab. Katanya: sekiranya dua orang saksi dapat mengenalinya dalam keadaan berniqab, maka tidak perlu lagi mendedahkan muka, dan haram mendedahkannya ketika itu kerana tiada keperluan.

Kadar keizinan berbeza mengikut urusan

Sebagaimana kaedah al-ḍarūrah tuqaddaru bi-qadari-hā: darurat diukur dengan kadarnya, maka sejauh mana keizinan diberikan bergantung kepada sejauh mana perkara yang ingin dilakukan itu diiktiraf oleh syariat.

Jika perkara tersebut sampai ke peringkat darurat atau hajat, seperti mendapatkan kad pengenalan atau lesen memandu, maka hukum mendedahkan muka adalah harus. Ia boleh berubah menjadi wajib sekiranya menjadi syarat untuk melakukan perkara yang wajib, seperti membuat pasport untuk mengerjakan haji.

Namun sekiranya perkara itu tidak penting atau bersifat sampingan — seperti urusan hiburan atau melancong yang tidak mempunyai keperluan syarak — maka hukum mendedahkan muka kekal seperti sebelumnya.

Pengecaman itu sendiri berbeza-beza kepentingannya: ada yang membabitkan nyawa dan keselamatan, ada yang remeh sekadar mematuhi prosedur; ada situasi yang kerap berlaku penyamaran, dan ada yang tidak pernah berlaku sebarang kes. Hukumnya mengikut keperluan sebenar, sebab itulah, walaupun ulama menyenaraikan jual beli antara situasi yang memerlukan pengecaman, tidak diketahui ada peniaga atau pelanggan wanita berniqab yang diminta mendedahkan muka untuk urusan jual beli, kerana ia tidak dianggap diperlukan.

Tanggungjawab kedua-dua pihak

Atas dasar muka bukan aurat (atau aurat yang paling ringan), demi menyeragamkan kaedah pengecaman dan menjamin ketepatannya, wanita tidak perlu teragak-agak mendedahkan keseluruhan muka jika dikehendaki berbuat demikian. Pada masa yang sama, pihak berwajib sepatutnya menyediakan petugas wanita dan ruang tertutup khusus untuk prosedur sedemikian, kerana masalah ini boleh dielakkan.

Lelaki yang terlibat pula perlu mengawal diri dengan melihat sekadar perlu, dan lelaki yang tidak berkenaan seharusnya mengelakkan diri daripada memandang. Imam Aḥmad, apabila ditanya tentang penjual yang memandang tapak tangan dan muka pelanggan wanita, menjawab: jika wanita itu tua, tidak mengapa; jika antara yang menggerakkan hatinya, hendaklah ia mengalihkan pandangan.

Kisah yang selayaknya dicatat

Jika pengecaman boleh dielakkan, itu lebih baik. Al-Bayhaqī meriwayatkan satu peristiwa di majlis Kadi Mūsā b. Isḥāq: seorang isteri mendakwa suaminya berhutang mahar sebanyak 500 dinar; si suami menafikan; saksi pihak isteri berkata, "aku ingin melihat perempuan itu" — untuk mengecamnya. Si suami terus berkata: "Maka saya bersaksi di hadapan kadi bahawa saya memang berhutang maharnya 500 dinar, dan dia tidak perlu mendedahkan mukanya." Si isteri membalas: "Maka saya pun bersaksi di hadapan kadi bahawa saya menghadiahkan 500 dinar itu kepadanya." Kata kadi: peristiwa ini selayaknya dicatat dalam buku tentang akhlak mulia.

Disahkan 18 Ogos 2026Kemas kini terakhir 1 September 2026